VIDEO Kecoh gara-gara air, MP DAP gelar Menteri 'bodoh' kabarmalay3.blogspot.com



Sidang Dewan Rakyat hari ini kecoh apabila seorang ahli DAP bangun mencelah dan menggelar Menteri Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Hamzah Zainuddin sebagai 'bodoh' ketika sedang berucap dalam isu penetapan pamer harga barangan di kedai.

Hamzah menjawab soalan Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham dan membuat perbandingan berhubung harga air di Pulau Pinang dan Melaka, setelah berulang kali menjelaskan isu itu.

"Saya dah maklumkan tadi, takkanlah saya nak tentukan harga. Contohnya, Pulau Pinang harga air yang diberikan itu terlampau mahal daripada di Melaka. 

"Sudah tentu bila kita nak tentukan harga, jadi tak kena untuk saya yang menentukan harga mengikut segala bayaran dan caj," kata Hamzah yang kemudiannya mengundang reaksi daripada ahli-ahli Parlimen pembangkang.

Kemudian, Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi bangun mencelah sambil menyifatkan menteri itu 'bodoh' kerana tidak ada fakta ketika berucap bahawa harga air di Pulau Pinang adalah paling murah di seluruh dunia.

"Jadi nampaknya Menteri kat sini sama ada dia bodoh atau tak ada fakta dalam tangan. 

"Harga air di Pulau Pinang paling murah di seluruh dunia," kata Jeff.

Pertikaman lidah berlaku apabila Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Moktar turut mencelah memanggil Jeff 'bodoh'.

"Ini Jelutong tak pandai-pandai, bodoh!" kata Bung.

Situasi kecoh itu terpaksa ditenangkan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang menegur ahli parlimen pembangkang itu supaya tidak menghamburkan perkataan yang tidak senonoh kepada Menteri.

"Kenapa terpaksa begini? Kenapa? Menteri beri penjelasan, dia buat perbandingan. Jadi kalau perbandingan itu tidak diterima, janganlah sampai guna perkataan-perkatan yang tidak senonoh. Kerana itukan mengundang reaksi. Jangan begitu.

"Jadi perkataan itu jangan ulang balik. Kalau ulang balik, saya ambil tindakan. Tapi masing-masing dari pembangkang dan penyokong kerajaan sudah lempar, tidak apa," kata Pandikar.

Subscribe to receive free email updates: