Rakyat sedang menunggu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan 1MDB, bukannya tragedi Memali, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Presiden PPBM itu berkata, 1MDB adalah isu yang sedang diperkatakan di seluruh dunia, manakala tragedi Memali yang berlaku pada November 1985 sudah melebihi 30 tahun.
“Hal ini sudah berlarut 30 tahun, apa pun ia sudah cukup lama. Saya sendiri diberitahu sudah ada kenyataan, Kertas Putih dan pernah dibahas di Dewan Rakyat.
“Hal seperti itu tidak banyak orang yang mahu ingat semula. Apa yang rakyat tuntut, RCI berkaitan 1MDB. Saya tidak kata kes Memali isu kecil.
“Dalam isu 1MDB, negara kehilangan wang dengan jumlah besar, bahkan turut dibicarakan di pelbagai negara,” katanya pada sidang media di pejabat PPBM Johor di Johor Bahru, hari ini.
Ahad lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, kerajaan sedia mempertimbangkan penubuhan RCI untuk mengkaji tragedi Memali pada 1985, jika ada permintaan daripada individu, pertubuhan atau parti politik.
Menteri dalam negeri itu berkata, bekas timbalan perdana menteri, Tun Musa Hitam menerusi bukunya bertajuk “Frankly Speaking” mendakwa beliau diarah menghapuskan Kampung Memali kerana terdapat unsur keganasan dan militan oleh pemimpin PAS.
Susulan itu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, PAS sudah menubuhkan jawatankuasa khas yang dipengerusikan Naib Presiden PAS, Idris Ahmad.
Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, beberapa individu sudah dinyatakan secara jelas dalam laporan saman Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ), namun kerajaan seolah-olah mengabaikan kepentingan negara.
“Saya bukan hendak alihkan pandangan (daripada RCI Memali kepada 1MDB), tetapi ia kejadian paling serius. Riza Aziz, Low Taek Jho dan Malaysian Official 1 disebut, tetapi tindakan sewajarnya tidak diambil.
“Yang lepas itu lepaslah, tetapi kini kenapa ia tidak begitu. Nampak tidak adil, soal kepentingan negara diabaikan. Saya terbau seolah-olah ada muslihat politik,” katanya.
Tragedi Memali pada 19 November 1985 menyaksikan 18 orang, termasuk 4 anggota polis terbunuh dan ramai lagi cedera ketika polis cuba menahan guru agama, Ibrahim Mahmud yang lebih dikenali Ibrahim Libya.
Isu ini kembali hangat selepas kekecohan yang berlaku di forum “Nothing to Hide 2.0” pada 13 Ogos lalu, selepas kerusi, suar dan kasut dilontar ke pentas semasa bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menjawab soalan hadirin mengenai tragedi itu. - FMT