KEADILAN DAILY
Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Shuhaimi Shafiei percaya bahawa beberapa serbuan yang dilakukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Selangor baru-baru ini adalah usaha terancang Putrajaya untuk mencalar dan menjatuhkan imej Selangor.
Kata Shuhaimi, isu ini pada mulanya dibangkitkan secara berperingkat-peringkat oleh blog-blog pro-Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Kemudian, ia dibangkitkan semula oleh pembantu khas kepada isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor, iaitu Datuk Rizal Mansor pada satu majlis Umno di Kelana Jaya sebelum ini.
“Menerusi tindak-tanduk Rizal, jelas serbuan SPRM terhadap UNISEL dan MBI baru-baru ini adalah ‘projek khas’ Najib dan Rosmah untuk merampas Selangor.
“Hubungan berkenaan (Rizal dengan Rosmah) sudah menjelaskan peranan Najib menerusi Rizal dalam hal ini. Sekurang-kurangnya Najib memberi restu tindakan terancang ini.
“Plot ini tidaklah sukar dibuat rumusan begitu, sudah terang lagi bersuluh sebab serbuan itu dilakukan,” katanya kepada KeadilanDaily.
Pada masa sama, Shuhaimi juga tidak menolak kemungkinan bahawa tindakan ini juga didorong oleh hasil kajian Merdeka Centre for Opinion Research baru-baru ini yang mendapati bahawa 72 peratus rakyat Selangor menyokong pentadbiran dibawah Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
“Najib dan juak-juaknya bimbang sokongan rakyat Selangor amat kukuh, melebihi 70 peratus terhadap pimpinan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali seperti yang dinyatakan dalam laporan Merdeka Centre for Opinion Research.
“Selangor adalah negeri termaju di Malaysia dan penyumbang terbesar KDNK negara sekitar 24 peratus. Tentunya Najib akan melakukan apa saja yang termampu termasuk taktik kotor dan jijik untuk merampas Selangor.
Baru-baru ini SPRM menyerbu Universiti Selangor (UNISEL), pejabat Mentri Besar Incorporated (MBI) dan Jana Niaga Sdn Bhd berkaitan kes yang sudah pun diputuskan mahkamah timbang tara.