SAITAMA: Seorang pelajar Malaysia, Muhammad Amirul Ashraf Abdullah, 21, dilaporkan lemas ketika berkelah di Sungai Arakawa, Saitama, Jepun, petang semalam.
Mangsa, pelajar tahun akhir jurusan kejuruteraan mekanikal informatiks di Universiti Meiji, Tokyo adalah pelajar tajaan Yayasan Pelajaran MARA (YPM).
Pengurus Unit Koordinasi YPM Khairul Amri Masrakin berkata ketika kejadian mangsa bersama 10 rakannya mengadakan perkelahan di sungai berkenaan selepas tamat peperiksaan.
"Mangsa bersama rakannya tiba di kawasan perkelahan itu kira-kira 4 petang (waktu tempatan) ... ketika lapan daripada rakannya menyiapkan bahan untuk memasak barbeku, mangsa bersama dua lagi rakannya pergi menyeberang sungai.
"Mangsa dikatakan tiba-tiba tenggelam dan lemas apabila tiba di kawasan tengah sungai, seorang rakannya telah sampai ke seberang manakala seorang lagi tidak jadi untuk menyeberangi sungai berkenaan,” katanya ketika dihubungi semalam.
Menurutnya, mangsa cuba meminta bantuan, namun pelajar lain tidak dapat berbuat apa-apa.
Khairul Amri berkata orang awam yang berada berhampiran segera membuat panggilan kecemasan dan anggota bomba yang tiba di lokasi kejadian mengambil masa 40 minit bagi melakukan operasi mencari dan menyelamat mangsa.
"Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Red Cross Fukaya dan ketika dalam perjalanan, pasukan perubatan cuba melakukan pernafasan mulut ke mulut (CPR).
"Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak hospital pada 6.30 petang waktu tempatan," katanya.
Beliau berkata pihak kedutaan dan keluarga telah dimaklumkan oleh wakil YPM di Jepun dan setakat jam 8 malam tadi, jenazah masih berada di hospital berkenaan.
Khairul Amri menambah berkemungkinan keluarga mangsa akan berlepas ke Jepun hari ini bagi menguruskan proses membawa pulang jenazah ke tanah air.