Komen pemimpin UMNO Langkawi: Ingatlah PAS, mereka hanya mempergunakan kamu |
KOTA BHARU - Cita-cita pembangkang mahu menawan negara hanya boleh terlaksana sekiranya pertandingan dua penjuru berlaku dalam PRU14 nanti.
Ketua Angkatan Muda PKR Kelantan, Dr Mohd Hafidz Rizal berkata, kajian Institut Darul Ehsan (IDE) menunjukkan jika berlaku pertembungan tiga penjuru pada, kemenangan akan berpihak kepada BN sekali gus menyebabkan kesengsaraan rakyat Malaysia.
"Melihat kepada kajian itu, kami dari PKR cuba membuka rundingan bersama Pas untuk memartabatkan Islam dan Melayu di negeri-negeri Pantai timur bagi merealisasikan pertembungan 1 lawan 1, akhirnya kemenangan berpihak kepada barisan pembangkang iaitu Pakatan Harapan dan Pas," katanya dalam satu kenyataan.
Hafidz turut menyeru pemimpin-pemimpin tertinggi Pakatan Harapan dan Pas meredakan tohmahan sesama sendiri dan membuka pintu rundingan untuk pilihan raya akan datang atas prinsip membela rakyat dan menumbangkan kleptokrasi Najib dan BN.
"Oleh itu kami mengajak rakyat Kelantan hadir dalam Pelancaran Pakatan Harapan Kelantan pada 25 Ogos ini di Machang untuk menunjuk keserasian dan kesungguhan sesama pemimpin Pakatan Harapan Kelantan," katanya.
Terdahulu, Hafidz berkata, PKR menghormati dan akur dengan arahan yang disampaikan oleh pengerusi Pengerusi PKR Kelantan, Ab Aziz Kadir dan Biro Politik Pusat yang mengarahkan semua lantikan politik di Kelantan kekal.
"Kami melaksanakan tugas semata-mata untuk berbakti kepada rakyat dan sekali gus menafikan dakwaan hanya menerima elaun atau kata-kata popular sekarang iaitu dedak," kata beliau dalam kenyataan itu.
Beliau dalam masa yang sama berkata, pihaknya tetap memegang janji untuk memperkuatkan dan memperkasakan Pakatan Harapan Kelantan sekali gus merealisasikan agenda reformasi yang dicetuskan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam fokus menumbangkan Umno dan BN.
"Sejarah selama 18 tahun berlakunya pertembungan politik yang hebat dan tajam antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan Anwar sehingga beliau meringkuk di Sungai Buluh selama 8 tahun dan hari ini kita semua dapat melihat rapatnya dua negarawan ini mengetepikan sengketa lama malahan bersatu padu di dalam pakatan harapan untuk menumbangkan Najib," katanya. - SH