Sejarah Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12) pada tahun 2008 yang menyaksikan tumbangnya BN di Perak boleh diulangi kembali dengan syarat Pakatan Harapan (PH) bersatu hati dan saling mempercayai.
Pengerusi AMANAH Perak Asmuni Awi berkata, tidak boleh ada agenda tersembunyi dalam kalangan parti komponen PH termasuk membuang masa memujuk pihak yang tidak konsisten untuk menentang Umno-BN.
"Apa sahaja yang kita lakukan di peringkat negeri akhirnya adalah untuk mengukuhkan Pakatan Harapan. Hari berlalu masa beredar. Jangan buang masa memujuk pihak-pihak yang tegaknya tiada tulang belakang, duduknya rapuh di pinggang.
"Sekejap ber’kluk’ ke kanan sekejap ber’klik’ ke kiri. Pinar mencari arah. Tak tahu ke mana nak dituju. Sekadar ingatan, kami lebih mengenali ‘mereka’ dari orang lain mengenalinya," katanya dalam ucaptama Konvensyen AMANAH Perak kali ke-2 di sebuah hotel di Ipoh, hari ini.
Beliau berkata demikian dipercayai merujuk kepada usaha PKR untuk terus berunding dengan Pas, parti yang dianggotainya dahulu.
Asmuni menegaskan, AMANAH harus memperkukuh muafakat dengan PH di Perak kerana BN sedang mencari nafas baru untuk terus mendapatkan mandat rakyat.
"Bagi BN Perak, Pilihan Raya Umum Ke-14 ibarat bahtera tanpa nakhoda. BN Perak sedang mencari ‘nafas’ baru untuk terus mendapatkan mandat rakyat dan Pakatan Harapan Perak wajar perkukuhkan muafakat antara kita sebagai sebuah kerajaan negeri yang diharapkan oleh rakyat," tegasnya yang juga Bendahari Agung AMANAH.
Liberalisasi kuasa
Menurut Asmuni juga, AMANAH dan PH sedang memikul tugas yang berat untuk merungkai tembok perkauman akibat politik perkauman yang dimainkan Umno-BN khususnya setiap kali menjelang PRU, apabila mereka menghadapi saingan getir dengan parti-parti pembangkang.
"Perkara ini menjadi lebih kronik kerana setiap kali menjelang pilihan raya isu perkauman ini adalah antara barangan atau bahan yang cukup laris untuk diperdagangkan, terutama ketika Umno-BN menghadapi saingan getir antara hidup atau mati di tangan parti-parti pembangkang," katanya.
Tambah malang lagi katanya apabila sebuah 'parti agama' yang sepatutnya menjernihkan hubungan antara kaum ini turut menjadi pelakon tambahan terbaru dengan menghidupkan kembali fahaman asabiyah sempit.
"Inilah cabaran untuk kita, melahirkan politik peradaban yang bukan sekadar slogan, tetapi mendepani dan merungkai tembok pemisah ini dengan mesej Islam yang sebenarnya iaitu Islam yang adil, Islam yang penuh rahmah dan Islam yang tidak membenci hanya kerana perbezaan kaum," katanya.
Justeru, Asmuni berkata, PH tiada pilihan selain membuat liberalisasi kuasa mereka kepada suatu struktur yang lebih seimbang berdasarkan kepada dinamika politik semasa.
"Memang ada usaha yang dilakukan oleh DAP dan PKR meletakkan calon Melayu di kawasan majoriti bukan Melayu.
"Ia adalah satu usaha yang baik. Walaupun meletakkan calon-calon bukan Melayu di kawasan majoriti Melayu berkemungkinan menghadapi risiko yang besar, namun usaha ke arah itu hendaklah difikirkan mulai dari sekarang," katanya.