LPPSA WAJAR TANGGUHKAN BAYARAN BALIK PINJAMAN
1) Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia mengambil maklum keluhan dan harapan ramai penjawat awam termasuklah persatuan-persatuan pekerja perkhidmatan awam yang mahukan penangguhan sementara bayaran balik pinjaman perumahan Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA).
2) Sebagaimana yang diumumkan melalui Pakej Ransangan Ekonomi Prihatin Rakyat 2020 (PRIHATIN) oleh Kerajaan pada 27 Mac lalu penangguhan bayaran balik pinjaman atau moratorium turut dilakukan oleh institusi-institusi perbankan selama 6 bulan untuk mengurangkan beban rakyat yang sedang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan wabak Covid-19.
3) Pemuda UMNO Malaysia berpendapat pemanjangan penangguhan bayaran balik LPPSA sedikit sebanyak dapat meringankan beban penjawat awam dan meningkatkan pendapatan yang boleh dibelanjakan (disposable income) sekaligus merancakkan ekonomi negara sebagaimana yang digariskan dalam objektif PRIHATIN.
4) Ternyata perbelanjaan domestik seperti makanan, utiliti dan barangan keperluan lain turut meningkat dengan perlaksanaan PKP yang turut memberi dampak besar kepada 1.7 juta penjawat awam.
5) Justeru, Pemuda UMNO Malaysia berharap pihak Kerajaan khususnya LPPSA dapat memberikan pertimbangan serius terhadap rayuan para peminjam dari kalangan penjawat awam yang banyak jasanya kepada negara selama ini.
Sumber : Dr. Asyraf Wajdi Dusuki