SRC International: Tuduhan Kabinet ‘rubber stamping’ satu penghinaan – Najib kabarmalay3.blogspot.com


[4 Disember 2019]

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melahirkan rasa tidak senang dengan tuduhan kononnya Kabinet adalah satu badan yang hanya sekadar ‘mengecop’ atau ‘rubber stamping body’.
Beliau berkata demikian ketika membacakan pernyataan saksi bersumpahnya sebentar tadi ketika perbicaraan kes berprofil tinggi SRC International Sdn Bhd yang memasuki hari ke-60 membabitkan penyelewengan dana RM42 juta serta 7 tuduhan lain dihadapi olehnya.
Kata Najib, untuk mencadangkan Kabinet sebagai ‘rubber stamp’ itu tidak lebih dari satu penghinaan sahaja.
“Ini bukanlah satu cara kerajaan beroperasi. Untuk cadangkan Kabinet merupakan satu badan yang hanya ‘rubber stamping’ tentunya akan menjadi penghinaan kepada anggota pentadbiran kerajaan.
“Mesyuarat Jemaah Menteri ditandakan ‘rahsia’ kerana untuk membolehkan setiap anggota Kabinet bebas bercakap demi kepentingan Kementerian masing-masing dan kerajaan secara umum.
“Saya tidak percaya mana-mana anggota Jemaah Menteri akan meninggalkan tanggungjawab pejabat awamnya dengan cara tidak menyatakan apa-apa pendapat yang bertentangan.
“Adalah satu perkara biasa bagi mana-mana Menteri untuk menyatakan rasa tidak setuju cadangan yang dibentangkan oleh Perdana Menteri atau Menteri kerana itulah tujuan perbincangan dalam Kabinet sebenarnya,” katanya.
Najib berkata demikian dengan merujuk mesyuarat Jemaah Menteri pada 17 Ogos 2011 dan 8 Februari 2012 yang telah memberi kelulusan dua jaminan kerajaan secara berasingan berjumlah RM4 bilion pinjaman daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) untuk SRC International.
Terdahulu, Najib juga dalam keterangannya sekali lagi menafikan dirinya mempunyai sebarang kepentingan peribadi, sebaliknya hanya melibatkan kepentingan negara semata-mata.
Malah Najib juga ‘menjawab kembali’ dakwaan beberapa saksi sebelum ini yang mendakwa Najib menghadiri mesyuarat Kabinet ketika cadangan untuk jaminan kerajaan kepada SRC International dibentangkan dalam mesyuarat oleh Menteri Persekutuan.
“Adalah tidak masuk akal sama sekali untuk sesekali mencadangkan seorang Menteri Kewangan harus melepaskan dirinya sendiri dari menghadiri mesyuarat atas kepentingan profesionalnya.
“Saya mahu menambah bahawa seorang Menteri Kewangan tidak pernah mengecualikan dirinya dari mesyuarat mengenai syarikat-syarikat MoF Inc kerana jika mereka tidak, tiada siapa yang akan berada di sana untuk mempertahankan cadangan yang dibentangkan dalam mesyuarat tersebut.
“Satu-satunya kepentingan saya adalah untuk memastikan semua keputusan yang berkaitan dengan syarikat-syarikat MoF Inc dibuat demi kepentingan Malaysia,” tegasnya.
Dengan jawatan Menteri Kewangan, Najib juga bertanggungjawab sepenuhnya dalam MoF Inc atau Menteri Kewangan DiPerbadankaan ketika itu selain menjadi pemegang saham utama dalam syarikat SRC International.
Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan menghadapi tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kuasa dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International yang berjumlah RM42 juta.
Perbicaraan dihadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali sedang berjalan ketika ini, untuk seketika Najib sempat memberitahu peguam belanya dirinya kesejukan ketika memberikan keterangan.

Subscribe to receive free email updates: