(TERTIPU) Persatuan Cukai: Harga Barang Dijangka NAIK bila SST 10% kabarmalay3.blogspot.com


KUALA LUMPUR: Harga barang dijangka meningkat jika cukai jualan 10 peratus seperti dicadangkan oleh kerajaan di bawah Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) diperkenalkan semula 1 September depan.
Presiden Persatuan Akauntan Percukaian Malaysia (MATA), Datuk Abd Aziz Abu Bakar, berkata kadar cukai jualan itu dilihat adalah sama seperti sebelum Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) diperkenalkan.
Bagaimanapun, beliau berkata berdasarkan kepada instrumen SST dalam kerajaan terdahulu, cukai jualan hanya dikenakan kepada pengilang dan pengimport, justeru dari segi ekonominya, ia akan memberi kesan kepada harga barang yang dikenakan cukai terbabit.
"Kadar yang dicadangkan itu adalah sama saja seperti dulu dan bukanlah kadar yang baharu. Seperti sistem SST sebelum ini, dijangka berlaku kenaikan harga terhadap barang tertentu yang tertakluk kepada rejim cukai ini.
"Apabila harga barang meningkat, ia tidak selari dengan matlamat dan manifesto kerajaan Pakatan Harapan yang ingin mengurangkan kos sara hidup dengan menghapuskan GST apabila mengambil alih tampuk pemerintahan dari Barisan Nasional (BN).
"Bagi cukai perkhidmatan enam peratus, ia dilihat tidak memberi kesan dan perlu diteliti dengan lebih lanjut kerana mungkin akan menimbulkan isu cukai berganda kepada pengguna, khususnya oleh pengendali restoran dan hotel," katanya ketika dihubungi NSTP di sini, hari ini.
Kerajaan mencadangkan kadar 10 peratus cukai barangan dan enam peratus cukai perkhidmatan di bawah SST yang akan diperkenalkan semula pada 1 September depan.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata Rang Undang-undang (RUU) SST dijangka dibentangkan di Parlimen Ogos ini bagi menggantikan GST yang mana pengenalan semula SST dijangka menyumbang sebanyak RM4 bilion kepada hasil kerajaan.
Mengulas lanjut, Abd Aziz berkata, bagi memastikan pelaksanaan cukai baru itu dapat dilaksanakan dengan mantap, kerajaan perlu mengenalpasti nilai ambang bagi cukai jualan dan cukai perkhidmatan.
Menurutnya, sebagaimana yang ditetapkan dalam nilai ambang GST, perniagaan dikenakan cukai sekiranya mencatatkan perolehan RM500,000 dan ke atas dalam tempoh setahun, manakala jika diambil kira SST sebelum ini, RM3 juta adalah nilai ambang bagi cukai jualan dan RM100,000 pula bagi cukai perkhidmatan.
"Sekiranya kerajaan dapat menetapkan satu kadar nilai ambang yang diselaraskan di bawah SST, sudah tentu ia dapat menjadi instrumen cukai yang adil dan menyeluruh," katanya.-Berita Harian 

Subscribe to receive free email updates: