Jauhi Najib jika UMNO mahu raih sokongan rakyat semula kabarmalay3.blogspot.com


Realitinya UMNO sudah kalah pilihanraya dan hilang kuasa yang dipegangnya sejak lebih 60 tahun yang lalu.

Realitinya juga, punca utama kalah dan hilangnya kuasa UMNO adalah disebabkan Najib Razak yang diselubungi deretan skandal, pembaziran dan kemewahan yang akhirnya mengakibatkan rakyat meluat dan menunjukkan kesatuan dengan menumbangkannya melalui peti-peti undi.

Jika UMNO tidak dipimpin oleh Najib atau sekiranya anak Tun Razak itu sedia mengundurkan diri sebelum pilihanraya yang lalu, keputusan suara rakyat pada 9 Mei lalu mungkin menghasilkan natijah yang berbeza.

Namun sekarang ini, selain UMNO sudah kalah dan menjadi pembangkang, parti itu juga dipimpin oleh barisan kepimpinan yang baru dengan Zahid Hamidi dan Mohamad Hassan menjadi presiden dan timbalan presidennya.

Walaupun kepimpinan baru UMNO adalah warisan mereka yang menyokong dan mempertahankan Najib, mereka seharusnya lebih berani bergerak ke hadapan dengan cara yang berbeza.

Najib kini adalah bekas Presiden UMNO dan sudah pun dituduh di mahkamah dengan tiga pertuduhan pecah amanah serta satu berkaitan rasuah berkaitan SRC International.

Di samping itu, berdasarkan siasatan yang masih berterusan berhubung 1MDB dan penemuan wang tunai serta barangan kemas bernilai lebih RM1 bilion di kediaman dan kondo yang dikaitkan dengan Najib, bekas Perdana Menteri itu dan isterinya, Rosmah Mansor juga dijangka akan berdepan dengan lebih banyak pertuduhan berkaitan rasuah, penipuan, penyelewengan, pecah amanah serta penggubahan wang haram.

Bermakna, untuk beberapa lama, Najib adalah titik hitam pekat dalam sejarah UMNO yang tidak mungkin kehitamannya dapat dipadamkan begitu juga.

Najib adalah sejarah gelap yang membawa nasib buruk dan malang yang tidak pernah berlaku sebelum ini kepada UMNO.

Tetapi, meskipun setelah ketiadaan Najib, UMNO kekal sebagai sebuah parti politik yang perlu meneruskan perjuangannya sehingga bila-bila selagi mereka yang menjadi pemimpin dan ahlinya yakin dengan perjuangan berasaskan nasionalisme itu.

UMNO juga perlu meyakinkan rakyat untuk terus bertanding, memenangi pilihanraya dan menjadi kerajaan semula. Tidak ada mana-mana parti yang hanya ingin menjadi pembangkang buat selama-lamanya.

Sekiranya UMNO benar-benar ingin meraih kembali sokongan dan kepercayaan rakyat, perkara pokok yang harus dilakukan oleh kepimpinan baru ini ialah segera menjarakkan diri daripada Najib, selain tentunya mengambil pendekatan yang sesuai dengan selera semasa masyarakat pelbagai lapisan.

Najib adalah bala dan malapetaka buat UMNO. Itu adalah fakta. Parti itu kalah kerana Najib dan ia tidak mungkin dapat meraih kembali sokongan rakyat sekiranya masih lagi sibuk dengan urusan untuk mempertahankan Najib.

UMNO mesti melupakan Najib dan membiarkan kes mahkamah yang dihadapinya adalah urusan peribadi yang harus diselesaikannya sendiri bersama barisan peguamnya memandangkan beliau hanyalah bekas presidennya saja.

Selagi UMNO bersekongkol dengan Najib, selagi itulah ia akan gagal mendapatkan kembali sokongan rakyat. Memang Zahid Hamidi diketahui sebagai “budak Najib”, tetapi jika kepimpinannya juga lebih sibuk dengan mempertahan, membela serta menganggap Najib sebagai makhluk suci yang perlu didewakan, ia hanya mengesahkan lagi beliau tidak lebih sebagai proksi bekas Perdana Menteri itu semata-mata.

Proksi Marcos tidak pernah wujud di Filipina dan semua proksi pemimpin yang terkait dengan skandal yang kemudian berjaya ditumbangkan juga tidak pernah diberi ruang untuk bernafas di mana fasa kepimpinan di seluruh dunia, logiknya mana mungkin proksi kleptokrasi Najib juga mahu disokong kembali oleh rakyat negara kita.

Membela dan mempertahankan Najib ketika kuasa dalam tangan pun sudah merupakan suatu kesilapan, melakukan perkara yang sama lagi setelah ketiadaan kuasa dan inginkan kembali sokongan yan hilang, sudah tentu merupakan suatu kesilapan yang lebih besar buat UMNO.

Pilihan kin ada ditangan kepimpinan baru UMNO, khususnya Zahid Hamidi - mahu melangkah ke hadapan dengan imej dan wajah baru atau akan tetap dikenali sebagai "saki baki penyamun" yang kerjanya hanya mempertahan "penyamun" juga dalam mengisi perjuangannya selepas ini. (ShahbudinHusin 08/07/2018)

Subscribe to receive free email updates: