Terpaksa Guna Jambatan Gantung Rosak Hantar Anaknya Ke Sekolah ! kabarmalay3.blogspot.com


KUALA LIPIS: Hari pertama persekolahan jauh berbeza buat seorang murid pra sekolah Sekolah Batu Yon, Bukit Betong di sini apabila terpaksa menyeberang jambatan gantung yang telah rosak.

Lutfil Hadi Abdul Jalil, 5, dibantu oleh bapanya Abdul Jalil Sulaiman, 41,  terpaksa menggunakan jambatan rosak itu di Kampung Pamah Aur, Bukit Kota pagi tadi ekoran jalan darat di kampung tersebut dinaiki air serta tidak boleh dilalui oleh kenderaan ringan.

Video Lutfil Hadi menyeberang jambatan rosak yang merentangi Sungai Tanum sambil dibantu bapanya tular di laman sosial Facebook  pagi tadi dan telah ditonton oleh lebih 780, 000 penonton hingga jam 1.15 tengah hari hari ini.

Ibu Lutfil Hadi, Siti Zaharah Othman, 33, berkata, anak ke empatnya begitu bersemangat untuk ke sekolah walaupun  tahu bahaya untuk menyeberang jambatan berkenaan.

Menurutnya, walaupun ada laluan alternatif lain untuk ke sekolah namun ia mengambil masa 45 minit perjalanan dengan melalui jalan Aur Gading - Padang Tengku.

"Jambatan gantung ni telah rosak sejak setahun yang lalu akibat banjir namun hingga kini masih belum dibaik pulih.

"Penduduk kampung guna laluan ini sebab lebih dekat dan boleh jimatkan masa ,"katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini, hari ini.

Siti Zaharah berkata, adalah diharapkan agar pihak berkaitan mengambil tindakan segera membaik pulih jambatan itu bagi memudahkan penduduk selain memberi keselesaan kepada pelajar sekolah untuk berulang alik.

Rakaman video berdurasi dua minit itu  dibuat oleh Siti Zaharah telah  mengundang rasa takut dan simpati netizen yang menyaksikan situasi cemas Lutfil Hadi memegang tangan Abdul Jalil serta besi penghadang jambatan tersebut untuk menyeberang Sungai Tanum dengan arus air sungai deras.

Rata-rata netizen juga meminta pihak bertanggungjawab mengambil tindakan segera dengan membina jambatan  baharu.

Sementara itu, Exco Perumahan dan Perbandaran negeri merangkap Adun Jelai, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerja-kerja membaik pulih jambatan tersebut akan bermula pada 8 Januari ini.

Menurutnya, sejumlah RM462,000 telah diperuntukkan untuk membaik pulih jambatan berkenaan dan dijangka siap 18 Mac.

"Timbul sikit salah faham apabila tular kisah murid dan bapa berkenaan menggunakan jambatan rosak untuk ke sekolah sedangkan pihak Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Bukit Kota ada menyediakan perkhidmatan bot untuk menyeberang.

"Saya harap mereka yang berkenaan  mendapatkan maklumat sahih tentang status jambatan terbabit dan kita sedaya upaya menyediakan kemudahan asas terbaik untuk rakyat,"katanya. #sumber

Subscribe to receive free email updates: