KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akhirnya menahan Naib Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Peter Anthony selepas disoal siasat kira-kira tiga jam, bersabit kes pembelian tanah ladang kelapa sawit bernilai kira-kira RM155 juta.
Penahanan itu disahkan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki, namun seorang lagi individu, Michael Persius Ubu, 61, yang dicari berhubung siasatan kes sama masih belum dapat dikesan.
Azam yang dilaporkan BH Online berkata, pegawai SPRM turut pergi ke rumah Pater dan mengambil beberapa dokumen bagi tujuan membantu siasatan.
Peter terdahulu disoal siasat lebih tiga jam sebelum meninggalkan pejabat SPRM pada jam 12.30 tengahari, dalam keadaan kedua-dua tangan bergari.
Peter, 47, adalah antara dua individu dicari SPRM berhubung siasatan kes pembelian tanah di daerah Tongod.
Terdahulu pada pagi tadi, Peter tiba di pejabat SPRM Sabah pada jam 10.25 pagi dengan diiringi peguamnya, Martin Tommy serta Setiausaha Agung WARISAN, Loretto Padua Jr.
Kelmarin, SPRM memberi tempoh 48 jam kepada Peter dan seorang lagi individu, Michael Persius Ubu, 61, dari Taman Rainfield, di sini untuk menyerah diri di pejabat SPRM Sabah bagi membantu siasatan berkaitan kes urusan pembelian tanah berkenaan.