ULASAN: Kalau benar PAS pernah menuduh Umno parti kafir dan sesiapa yang bekerjasama dengan Umno maka ia juga akan turut kafir, maka sudahkah Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Tun Dr Mahathir Mohamad bertaubat?
Ini kerana ketika menjadi Presiden Umno, beliau pernah bekerjasama dengan PAS untuk menyuarakan kesepaduan mengecam penganiayaan Israel terhadap rakyat dan bangsa Palestin. Kerjasama ini ditayangkan secara langsung di kaca televisyen.
Bertempat di Dewan Bahasa dan Pustaka pada 9 Mei 2002 Mahathir berpidato bersama Presiden PAS, Allahyarham Datuk Fadhil Nor mengutuk kekejaman rejim Zionis dan bersepadu mahu kezaliman itu dihentikan segera.
Ketika itu tidakkah Haji Abdul Hadi sudah ‘kafir’ kerana bekerjasama dengan Umno? Malah Umno sendiri sudah dihukum PAS sebagai kafir. Ketika Presiden Umno ialah Mahathir!
Jika Mahathir mahu menggunakan ‘fatwa” PAS, beliau wajib mengamalkan keseluruhannya. Bahawasanya beliau adalah ‘kafir’ dan bukan memperakui pendapat PAS apabila ia serasi dengan pandangan dan peluang politiknya buat satu-satu masa.
Kini Dr Mahathir bukan lagi presiden Umno malah sebaliknya mahu meruntuhkan Umno. Namun beliau menggunakan ‘fatwa’ lama kononnya pihak mana bekerjasama dengan Umno akan turut kafir. Maka sekarang, katanya, Hadi ‘mengkafirkan’ dirinya sendiri.
Adalah jelas sekali yang memanipulasi hukum Allah ialah Mahathir. Beliau menggunakan apa jua ‘fatwa' menurut persepsinya boleh menjatuh dan memburukkan lawan sahaja.
Lantas tindakan PAS dan Umno kini bekerjasama demi kepentingan Islam dan umatnya dalam isu Rohingya dan Palestin, kata Mahathir, sudah menyebabkan kedua-dua parti dan pemimpinnya kafir.
Jika ini bukan manipulasi politik, apakah namanya? Siapakah sebenarnya yang guna agama untuk mengumpul markah politik?
Dr Mahathir wujudkan salah faham Amanat Hadi?
Soalnya, adakah benar Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pernah membuat hukuman demikian? Atau, Mahathir itu sekadar ‘melarikan mesej’ Amanat Hadi?
Soal takfir atau mengkafirkan orang lain adalah dosa besar. Jika yang dituduh tidak kafir, maka yang si-penuduhlah kafir. Sudahkah Mahathir bertaubat dan kembali ke jalan Allah?
Kerakusan Mahathir menyerang PAS dan pemimpinnya sebagai menggunakan Islam untuk kepentingan politik mutakhir ini amat mengerikan. Beliau berpolitik dengan soal iman – bukan sahaja memperjudikan imannya sendiri malah melibatkan iman orang lain.
Apakah motifnya? Mahathir mungkin mahu mencerca kepincangan iman orang lain agar dilihat rakyat “keberanian dan keyakinannya” akan ‘kekufuran’ pihak lawannya dan lantas menyokong beliau. Amat berbahaya tingkahnya ini.
"Hadi adalah orang yang hanya menggunakan Islam. Dia pernah kata Kerajaan kafir dan perlu ditentang, jika anda mati dalam penentangan itu, anda akan masuk syurga.
"Itu yang dijanjikan (Hadi) dan ia bertentangan dengan ajaran Islam, namun mereka yang pakar agama hanya berdiam diri. Mengikut kata PAS, jika kamu bekerjasama dengan kafir, kamu akan menjadi kafir.
"Jadi sekarang dia bekerjasama dengan Umno dan sebelum ini pernah bekerjasama dengan DAP, jadi dia 'mengkafirkan' diri sendiri," katanya.
Sekali lagi, sebagai bekas pemimpin Umno, sudahkah beliau bertaubat?
Amanat Hadi tidak pernah mengkafirkan Umno, sebaliknya kandungan ucapan Abdul Hadi adalah bagi menjelaskan dasar dan prinsip Amar Makruf Nahi Mungkar serta perkara yang boleh membatalkan syahadah.
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, dakwaan Mahathir kononnya Amanat Hadi 'mengkafirkan' Umno, adalah tohmah bagi menamam kebencian rakyat serta menjarakkan masyarakat dari PAS.
"PAS sudah jauh menapak ke depan dengan Budaya Politik Matang dan Sejahtera yang diperkenalkan sejak akhir 2015 bagi menyantuni masyarakat muslim pelbagai peringkat sesuai dengan realiti semasa kefahaman masyarakat tentang Islam.
"Dr Mahathir pula mahu undur ke belakang melihat senario dakwah hampir 40 tahun lalu," katanya.
Amanat Hadi kembali hangat
Amanat Hadi adalah petikan ucapan Abdul Hadi ketika berceramah di Kampung Benggol, Peradong, Kuala Terengganu pada 7 April 1981.
Dr Mahathir menuduh Amanat Hadi punca tragedi Memali, di mana dakwanya pengikut guru agama, Ibrahim Mahmud atau Ibrahim Libya terlalu taksub dengan amanat berkenaan.
Mantan perdana menteri itu juga mendakwa sikap berdiam diri mufti yang tidak menyangkal fatwa ekstrim ini menghangatkan polemik kafir mengkafir sesama Islam.
"Usah diharap untuk seorang yang mempunyai rekod yang kurang baik terhadap agenda Islam seperti menghapuskan geran perkapita sekolah agama rakyat untuk kembali ke tampuk pemerintahan. Usah undur ke belakang," ujar Ahli Parlimen Kuala Nerus itu.
Dalam masa yang sama Mohd Khairuddin juga mengingatkan para ilmuwan Islam termasuk mufti agar tidak terikut dengan rentak Dr Mahathir menyerang PAS.
Pada hakikatnya, intipati 'Amanat Hadi' secara keseluruhannya bercanggah dengan tuduhan Mahathir yang mendakwa ia mengkafirkan sesiapa yang tidak menyertai PAS, kata penganalisis politik, Azmi.
Beliau berpendapat ucapan Abdul Hadi disalah tafsir apabila diambil secara berkelompok dan bukannya difahami secara keseluruhan.
"Jikalau kita tinjau dan teliti amanat itu sendiri; kalau kita ambil dua tiga perenggan maka itu dikatakan boleh menimbulkan kekecohan.
“Tetapi kalau kita menghayati keseluruhan amanat itu yang sebenar, ianya tidak menjerumus kepada apa yang dikatakan mengkafir. Sebenarnya tidak.
“Kita perlu buka minda dan baca amanat itu secara keseluruhan apa yang berlaku (dalam) keadaan politik pada ketika itu,” tegasnya.
Mahathir bukan sahaja perlu membuka minda dan memahami Amanat Hadi menurut konteksnya tetapi wajib membuka hati supaya berkata benar dan bukan putar belit hakikat untuk mencapai kemenangan politik semata-mata.