SEREMBAN: Pemimpin Barisan Nasional (BN) terutama UMNO, perlu memperkemaskan cara berpolitik masing-masing dengan lebih kerap menjawab pelbagai tuduhan serta mematahkan hujah dangkal pembangkang.
Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa, berkata pemerhatiannya mendapati pemimpin BN terlalu memberi perhatian kepada tugas mentadbir negara sehingga memberi peluang kepada pembangkang memainkan pelbagai isu.
"Saya rasa UMNO dan BN terlalu memberi perhatian menjadi kerajaan (mentadbir dan membangunkan negara) sehingga kita jadi tidak pandai berpolitik.
"Pembangkang pula tak perlu mentadbir, mereka tidak peduli pembangunan negara, sebaliknya berpolitik sepanjang masa dengan memutar belit isu dan melemparkan pelbagai tuduhan kepada kerajaan selain membuat janji yang sukar ditunaikan kepada rakyat" katanya.
Annuar berkata demikian ketika sidang media pada program bicara minda dan sesi dialog sempena siri 'Jelajah Perjuangan For All' di sini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pemimpin BN perlu menyeimbangkan peranan mereka terutama lebih bijak berpolitik dengan kerap mengupas dan menjawab isu yang dimainkan oleh pembangkang.
Sementara itu, Annuar berkata, tumpuan pengisian pada program dialog malam ini adalah berkaitan amalan politik perkauman yang dibawa oleh DAP yang jelas memecah belahkan kerharmonian kaum selama ini.
"Matlamat DAP sejak dahulu adalah sama iaitu membakar api perkauman orang Cina untuk mendapatkan sokongan mereka.
"UMNO ditubuhkan 20 tahun lebih awal daripada DAP dan tiada isu perkauman dibangkitkan selama itu, namun apabila DAP ditubuhkan, ketegangan kaum meletus pada 1969.
"Nyata, kewujudan DAP dan cara politik mereka menimbulkan suasana tertentu. Mereka hasut dan takutkan orang Cina dengan pelbagai cerita," katanya.