Najib makin terdesak bandingkan GST 6 peratus rendah dengan negara India kabarmalay3.blogspot.com


Najib makin terdesak bandingkan GST 6 peratus rendah dengan negara India

Kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd  Najib Razak dilihat semakin terdesak apabila mengeluarkan kenyataan kadar Cukai Barangan dan Perkhidmatan ( GST) sebanyak 6% di negara ini rendah jika dibandingkan dengan negara India, kata Pemuda AMANAH Nasional.

Timbalan Pemudanya Faiz Fadzil berkata, dengan nada yang bermegah dan nada menghina kononnya rakyat negara ini tidak perlu marah dengan pelaksanaan GST kerana kadar GST di India jauh lebih tinggi iaiti 28% dakwanya, dilihat naif oleh rakyat.

“Perdana Menteri sendiri terpaksa mengeluarkan kenyataan yang dilihat naif oleh rakyat.

“Tiada lagi suara-suara seperti Datuk Ahmad Maslan yang pernah mengeluarkan kenyataan bahawa GST akan mengurangkan harga barang.

“Ternyata, kenyataan tersebut meleset setelah 2 tahun pelaksanaan GST, harga barang semakin melonjak naik.

“Kini, Perdana Menteri sendiri terpaksa mengeluarkan kenyataan seumpama itu di mana beliau gagal melakukan kaji selidik berkaitan fakta lengkap pelaksanaan GST di India.

“Jelas, Perdana Menteri semakin terdesak dan kehilangan sokongan menteri kabinetnya,” ujar beliau dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Barisan Nasional(BN) ketika berucap pada Mesyuarat Agung Tahunan MIC 2017 pada Sabtu, yang dipetik berkata,bahawa di India kerajaan negara itu mengenakan GST sebanyak 28 peratus.

Sedangkan kata Najib lagi, kita (di Malaysia) baru kena 6 peratus pun dah riuh-rendah bising, marah kerajaan, katanya.

Sambung Faiz lagi, hakikatnya pelaksanaan GST di India jauh berbeza dengan dasar GST kerajaan Barisan Nasional.

Ini kerana GST di India berbeza kadar bermula 5% sehingga kadar 28% dan kadar 28% hanya dikenakan pada barangan tertentu seperti penghawa dingin dan peti sejuk yang melibatkan kenaikan 5% daripada cukai semasa 23% serta perjudian serta tidak melibatkan sektor pendidikan, kesihatan dan perumahan.

“Secara realitinya, golongan berpendapatan rendah di India tidak merasai GST. Berbeza dengan dasar GST di negara ini, hampir kesemua barangan dan perkhidmatan dikenakan GST dan ditanggung oleh kesemua segmen rakyat tanpa mengira kelas dan tempat,” terangnya.

Justeru, Pemuda AMANAH sekali lagi membuat desakan agar GST dihapuskan untuk meringankan beban rakyat.

“Cukai regresif ini tidak pun membantu rakyat di mana dalam masa kerajaan mengutip GST hampir RM42 bilion setahun, subsidi komoditi rakyat seperti minyak, minyak masak, gula dan beras ditarikbalik dan bajet bidang ekonomi utama negara seperti pendidikan dan kesihatan dipotong,” ujarnya.

“Perdana Menteri digesa untuk tidak terus menjustifikasikan GST dengan membuat perbandingan dengan negara asing sedangkan masalah utama rakyat akibat tekanan GST tidak diselesaikan kerajaan Barisan Nasional dibawah pimpinan Datuk Seri Najib,” ujarnya.

Subscribe to receive free email updates: