Masih dikekang faktor tertentu, ada penganalisis politik melihat kemungkinan untuk kerjasama di antara PAS dan Umno boleh terjadi di Selangor.
Spekulasi itu menjadi panas selepas akhbar Singapura, Straits Times, pada Jumaat lalu melaporkan Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang saling berhubungan hampir setiap hari sejak dua minggu lalu.
Najib dan Abdul Hadi masing-masing adalah presiden Umno dan PAS.
Menurut Straits Times kedua-dua mereka sedang berusaha merampas Selangor yang kini ditadbir oleh musuh politik mereka di peringkat pusat.
Dr Ahmad Atory Hussain menyatakan isu kerjasama di antara dua parti itu sudah lama diperkatakan ketika tarikh pilihan raya umum (PRU) ke-14 semakin hampir.
Walaupun Abdul Hadi dilihat lebih cenderung kepada pakatan sebegitu, keadaan sama dijangka tidak berlaku pada timbalannya Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.
Namun kata Ahmad Atory (gambar) laporan Straits Times pada 25 Ogos itumenunjukkan sekurang-kurangnya ada rancangan untuk menguasai Selangor.
"Di atas kertas Umno boleh menang jika dibantu PAS. Tapi saya tida fikir ia mudah pada waktu sekarang dengan adanya Parti Amanah Negara (AMANAH) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU),” katanya kepada Malaysiakini.
Di sebalik keadaan itu banyak pihak mengakui permusuhan sengit yang pernah terjadi antara kedua-dua parti itu tidak mustahil dipadamkan demi Selangor.
"Sebab itu Azmin - dan dulu Muhyiddin - sedaya-upaya cuba memujuk PAS, sebab mereka tahu kalau PAS tak mahu membantu dengan sendirinya akan berlaku pertandingan tiga penjuru," katanya meruju kepada Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Azmi Ali dan Presiden BERSATU Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Majoriti ikut presiden
Pada masa sama Atory yakin jika kerjasama Umno - PAS itu berlaku, ia tetap menguntungkan PAS.
Ia memang berbeza daripada pandangan pihak lain yang meramalkan PAS akan kehilangan sokongan jika bekerjasama dengan Umno.
"Peratusan (hilang sokongan) tak banyak. Majoriti anggota PAS akan mengikut presiden, sebab kita kena ingat Abdul Hadi menang besar dalam pertandingan jawatan dulu," katanya mengenai pemilihan pada 2015.
Pada pemilihan itu Abdul Hadi ditentang bekas pegawai kanan Pusat Islam, Ahmad Awang. Pertandingan itu bukan saja menyaksikan Ahmad gagal malah hampir semua pemimpin aliran sederhana dalam PAS diketepikan perwakilan.
Mereka kemudian menubuhkan AMANAH.
Kata Atory atas perkiraan itu beliau menjangkakan PAS masih akan disokong anggotanya walaupun jika kerjasama dengan Umno berlaku.
"Kalau ada pun yang tak suka, mereka tak ramai," katanya.
Malah kata bekas pensyarah Universiti Utara Malaysia itu, lebih cepat PAS membuat keputusan menyokong BN, akan lebih mudah untuk Najib membuat sebarang pengumuman berkaitan PRU.
"BN akan lebih yakin untuk menang sebab jika PAS menang pun, parti itu akan menyokong BN membentuk kerajaann," katanya.
Khoo Kay Peng juga percaya kerjasama itu akan berlaku jika PAS tidak bersama Pakatan Harapan sehingga PRU ke-14 berlangsung.
"Kerjasama itu akan memberi manfaat kepada PAS, jika PAS dan Umno boleh merundingkan satu perjanjian pilihan raya dan mengelakkan pergaduhan tiga penjuru," katanya.
Bagaimana pula dengan tahap sokongan bagi kedua-dua parti sekiranya mereka memutuskan untuk bekerjasama?
Kata penganalisis politik itu, Umno dan PAS akan mendapat faedah bersama jika pemimpin berjaya memujuk penyokong masing-masing.
"Tidak semua dapat diyakinkan tapi ada masa untuk melakukannya," kata Khoo.