'Polis boleh garang tapi kena senyum' kabarmalay3.blogspot.com

 


Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu melakukan pendekatan yang mewujudkan fikiran yang tenang dalam masyarakat bagi membuang persepsi negatif terhadap agensi keselamatan itu, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri berkata PDRM perlu lebih mendekati masyarakat dan badan-badan bukan kerajaan dengan pendekatan bersifat mesra rakyat supaya persepsi mereka terhadap agensi itu cenderung ke arah positif.

"Polis boleh garang, tegas tetapi kena senyum dan mesra dengan masyarakat," katanya ketika berucap pada ‘Forum Addressing Perception on Safety and Security’ di Kuala Lumpur, hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata masyarakat masih menganggap kadar jenayah di negara ini tinggi, walaupun kadar indeks jenayah menurun 47 peratus sejak program transformasi dilaksanakan pada 2009.

Malah, katanya, PDRM sebelum ini diiktiraf sebagai agensi keselamatan terbaik di negara Asean menerusi pelbagai usaha dilakukan dalam membanteras jenayah.

"Ini realiti tetapi persepsi masyarakat masih tidak bersetuju kerana minda kita sering melihat kepada perkara-perkara yang negatif," katanya.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata kementeriannya turut melakukan pelbagai usaha dalam menangani jenayah termasuk membantu bekas banduan daripada kembali melakukan jenayah.

Katanya, mengikut statistik hanya 0.6 peratus banduan di negara ini yang selesai menjalani hukuman kembali melakukan jenayah.

Ahmad Zahid berkata ia jauh lebih rendah berbanding kadar 65 peratus banduan di California, Amerika Syarikat yang kembali melakukan jenayah.

Selain itu, katanya, pihak Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) turut berusaha keras memulihkan 3,794 pesakit yang berada di pusat Pusat Pemulihan Jagaan dan Rawatan (CCRC) di seluruh negara bagi mengelak mereka kembali terjebak dengan najis dadah.

Katanya, ini kerana masalah dadah merupakan antara penyumbang kepada kejadian jenayah dengan 57.2 peratus banduan yang berada di penjara-penjara melakukan jenayah berkaitan dadah.-Bernama

LIHAT VIDEO DI SINI

 

Subscribe to receive free email updates: